Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas terletak di utara negeri
Kedah Darul Aman iaitu 12 km dari Alor Setar dan 6 km dari Jitra. Sekolah ini
terletak di penjuru Daerah Kota Setar dan hampir ke sempadan Daerah Kubang
Pasu.
Sejarah SMKKB
Sekolah Menengah
Kebangsaan Kepala Batas ditubuhkan pada 1 Januari 1976 untuk menampung
kekurangan sekolah-sekolah menengah di Daerah Kubang Pasu terutamanya bagi
pelajar-pelajar di sekitar Kampung Lengkuas, Kampung Bukit Pinang, Kampung
Lepai dan Kampung Hutan Kampong. Pada waktu itu terdapat lebih kurang 300 orang
pelajar menghadapi masalah untuk pergi ke sekolah menengah yang hampir dengan
tempat tinggal mereka. Pelajar-pelajar yang ingin ke tingkatan satu terpaksa
memilih sama ada ke SMK Tunku Abdul Malik, Alor Merah sejauh 16 km dari tempat
tinggal mereka atau SMK Jitra yang jauhnya hampir 13 km dari rumah mereka.
sekolah-sekolah tersebut juga sudah mempunyai ramai pelajar dan tidak mampu
menampung lebih ramai lagi pelajar.
Pihak Jabatan Pelajaran
Kedah pada waktu itu telah mengisytiharkan penubuhan sekolah ini pada tahun
1976 walaupun bangunannya belum ada. Pembinaan sekolah ini hanya bermula pada
tahun 1978. Walau bagaimanapun, persetujuan telah dibuat dengan kerjasama Guru
Besar Sekolah Kebangsaan Kepala Batas agar sekolah ini ditumpangkan di sekolah
tersebut dengan sesi persekolahan dijalankan pada sebelah petang.
Pada tahun pertama
sekolah ini ditubuhkan, En. Nordin Bin Dahaman telah dilantik sebagai Pengetua
dengan jumlah pelajar seramai 245 orang. Pada awalnya hanya terdapat 6 kelas
Tingkatan Peralihan dan lima kelas lagi Tingkatan Satu aliran Sains Rumah
Tangga/ Sains Pertanian. Pada masa itu tenaga pengajar hanya terdiri
daripada 8 orang guru penolong, tiga daripadanya adalah guru sementara. Tetapi
kini setelah 37 tahun berlalu, sekolah ini telah mempunyai 60 orang guru, 10
orang staff dan seramai 832 orang pelajar.
Lencana Sekolah
Penerangan Logo
MERAH
Semangat yang kental untuk belajar bagi mencapai kejayaan yang
cemerlang
PUTIH
Kesucian dari segi mental dan fizikal serta suci dalam tutur kata
HIJAU
SMKKB dikelilingi oleh dengan kawasan pertanian iaitu sawah padi
yang menghijau dalam keadaan harmoni
VISI SEKOLAH
"SMKKB akan menjadi salah sebuah
sekolah menengah harian luar bandar yang cemerlang di Kedah menjelang
2015"
FALSAFAH SEKOLAH
"Mempercayai bahawa setiap pelajar
mempunyai keupayaan untuk berkembang maju dari segi jasmani, emosi, rohani, dan
intelek jika mendapat peluang dan bimbingan yang bijaksana dan
berterusan."
MATLAMAT SEKOLAH
"SMKKB berazam melahirkan modal insan yang berilmu
pengetahuan, patuh kepada Tuhan, taat kepada negara, memiliki sahsiah terpuji,
berketrampilan dan berkemampuan memberi sumbangan kepada keluarga, agama,
masyarakat, dan negara."
MISI SEKOLAH
- Mempertingkatkan
kecekapan mengurus dengan berkesan dalam semua bidang.
- Berusaha
untuk meletakkan pencapaian kurikulum pada tahap cemerlang.
- Menggalakkan
penglibatan menyeluruh dan mencapai kejayaan cemerlang dalam aktiviti
kokurikulum.
- Melahirkan
pelajar yang berketrampilan, bersahsiah tinggi, dan berakhlak mulia.
- Membudayakan
penggunaan ICT untuk membangun dan memantapkan pengurusan, pengajaran dan
pembelajaran.